Sunday, October 21, 2012

TNB bangun pusat cas kereta elektrik


 Peter Chin ketika  melancarkan stesen pengecas kereta elektrik, 
di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto hiasanPeter Chin ketika melancarkan stesen pengecas kereta elektrik, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto hiasan
Projek berhampiran Bukit Bintang, persediaan awal infrastruktur EV 

Tenaga Nasional Bhd (TNB) sedang membangunkan sistem grid pintar (Smart Grid TNB) berpusat di kawasan segi tiga emas berhampiran Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebagai persediaan awal pembangunan infrastruktur stesen pengecas kereta elektrik (EV) di seluruh negara. Projek itu, akan membolehkan TNB menguruskan penyaluran dan penggunaan elektrik dengan lebih cekap selain meraih penjimatan besar dengan mengurangkan kadar kehilangan tenaga yang tidak digunakan.

Sumber industri berkata, syarikat utiliti itu memperuntukkan pelaburan besar bagi menerapkan teknologi Smart Grid yang mampu mengumpul maklumat dan bertindak balas berdasarkan pembekalan dan permintaan yang diperoleh hasil kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

Katanya, teknologi itu amat berguna bagi membantu negara memperkukuhkan lagi pembangunan teknologi EV yang dijangka dilaksanakan secara komersial menjelang 2014. 

“Apabila kereta EV diperkenalkan secara komersial, keperluan kepada stesen pengecas akan meningkat sekali gus memerlukan bekalan tenaga elektrik yang mapan untuk kegunaan pengguna EV, premis perniagaan dan persendirian di kawasan terbabit. 

“Bekalan tenaga perlu ditingkatkan atau ia boleh diuruskan dengan cekap bagi memenuhi keperluan ini, maka TNB mencadangkan sistem grid pintar sebagai penyelesaiannya membolehkan syarikat menyalurkan bekalan elektrik secara optimum mengikut keperluan semasa. 
Meter pintar 

“Sistem ini menekankan elemen meter pintar dan dikawal secara jarak jauh, selepas pengujian di kawasan segi tiga emas selesai kita akan tahu kriteria grid pintar di Malaysia dan hasil kajiannya akan digunakan sebagai model rujukan untuk dibangunkan di kawasan lain pula,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Teknologi Grid Pintar kini digunakan secara meluas di negara maju khususnya Eropah bagi mengawal selia dan menyelaras pengedaran bekalan tenaga secara automatik. 

Katanya, cadangan projek itu sudah dibentangkan kepada pihak industri terbabit dengan teknologi EV dan mereka menyambut baik rancangan itu yang membuktikan komitmen kerajaan dan agensi kerajaan kepada hala tuju teknologi EV negara. 

Pertambahan permintaan 

Mengulas perkembangan itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui yang ditemui pada Pameran Produk Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM 2012) baru-baru ini, berkata kini pertambahan permintaan bekalan elektrik masih belum ketara kerana jumlah stesen pengecas EV masih rendah. 

Katanya, pada masa depan apabila jumlahnya melebihi 20 hingga 30 stesen EV di satu lokasi ber-hampiran ia akan menjejaskan bekalan kuasa di kawasan terbabit. 

“Dengan pertambahan jumlah stesen pengecas bermakna TNB perlu mengukuhkan sistemnya di sana, kalau terlalu banyak bekalan elektrik disedut oleh kenderaan EV akan timbul pula masalah bagi keperluan premis lain di sekitarnya. 

“Maka kementerian juga perlu melakukan kajian bagi mengumpulkan data bagi mengetahui berapa banyak kuasa diperlukan di satu-satu tempat,’ katanya.


source:http://www.bharian.com.my/articles/TNBbangunpusatcaskeretaelektrik/Article/

No comments:

Post a Comment