Tuesday, September 10, 2013

EKONOMI Tesco rancang kurangkan pelepasan gas karbon dioksida

Tesco Stores Malaysia Sdn Bhd menyasar untuk mengurangkan sehingga 50 peratus pelepasan gas karbon dioksida dari semua pasar rayanya menjelang 2020 menerusi kaedah penggunaan tenaga lebih cekap. 

Ketika ini, syarikat peruncitan dari Britain itu telah mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida di 47 pasar raya serta dua pusat pengedarannya (DC) di negara ini sehingga 25 peratus. 
Pengurus Tenaga dan Penyejukannya, Kathleen Teh, berkata pihaknya menggariskan empat inisiatif yang akan diguna pakai bagi mencapai sasaran itu. 


Inisiatif berkenaan ialah pencahayaan, pendingin hawa, penyejukan dan elektrikal serta pelan sikap yang mula dilaksanakan di semua pasar raya Tesco. 

“Bagi inisiatif pencahayaan, Tesco akan menukar lampu pendarfluor T5 kepada lampu LED yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga hingga 42 peratus secara berperingkat dalam tempoh dua tahun ini. 

“Sementara, bagi inisiatif pendingin hawa pula, syarikat bercadang memasang mesin kawalan pendingin hawa yang mampu mengawal penggunaan pendingin hawa secara automatik. 

“Setakat ini, kami sudah memasang mesin ini di 28 pasar raya Tesco membabitkan pelaburan RM7.5 juta dan ia dijangka mampu menjimatkan penggunaan tenaga antara satu hingga tiga peratus sebulan,” katanya kepada BH dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur. 
Teh berkata, walaupun kadar satu hingga tiga peratus dilihat kecil, realitinya ia mampu menyumbang kepada penjimatan ketara kerana 60 peratus daripada jumlah bil elektrik di pasar raya itu setiap bulan disumbangkan oleh penggunaan pendingin hawa. 

“Sebagai contoh, pendingin hawa di pasar raya Tesco di Kepong menggunakan lebih sejuta kilowatt setiap bulan dan jika ia dapat dikurangkan walaupun hanya tiga peratus, ia sudah memadai,” katanya. 

Bagi inisiatif pelan sikap yang juga dikenali sebagai Energy Hot House, ia dilaksanakan sebagai perintis di Tesco Puchong dan berjaya mengurangkan 3.8 peratus penggunaan tenaga yang bersamaan dengan RM8,600 sebulan dalam bil elektrik sekali gus melepasi sasaran ditetapkan iaitu dua peratus. 

“Kini, inisiatif ini yang turut mendapat kerjasama daripada pasukan Tesco United Kingodom sudah dilaksanakan di semua cawangan Tesco dan DC di Malaysia sejak Julai lalu,” katanya.


http://www.bharian.com.my/articles/Tescorancangkurangkanpelepasangaskarbondioksida/Article/

No comments:

Post a Comment