Tuesday, April 3, 2012

TNB sasar kutip FiT RM300j setahun

TENAGA Nasional Bhd (TNB) menyasar mengutip sehingga RM300 juta setahun bagi sistem tarif galakan (FiT), yang dilaksanakan akhir tahun lalu.


Ketua Bahagian Pengedaran, Teknologi Hijau dan Tenaga Boleh Barunya, Abdul Rahim Jamil, berkata sasaran itu berdasarkan pecahan satu peratus untuk Tabung Tenaga Boleh Baru (Tabung TBB) daripada jumlah pendapatan tahunan yang diperoleh konglomerat utiliti itu, iaitu sekitar RM30 bilion. Bagaimanapun, katanya, sasaran kutipan itu turut bergantung kepada tempoh pembayaran sebenar pelanggan kepada TNB. “TNB akan membuat pembayaran pertama kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA),” katanya ketika program TNB bersama media di Manjung, Perak baru-baru ini.

Pada Disember lalu, pelanggan elektrik yang menggunakan lebih 300 kilowatt (kWh) sebulan diwajibkan menyumbang satu peratus daripada jumlah bil bulanan kepada Tabung TBB mengikut Akta TBB 2011.

Jumlah itu dicaj secara automatik dalam bil bulanan masing-masing yang membabitkan kira-kira 30 peratus atau 2.2 juta daripada keseluruhan 7.2 juta pemegang akaun TNB.

Dana terkumpul menerusi Tabung TBB akan digunakan untuk mempromosikan dan membangunkan projek serta inisiatif berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Hampir semua pemegang akaun yang bakal terbabit dengan sumbangan TBB itu ialah sektor pekilangan, industri atau industri kecil dan sederhana (IKS) selain kediaman tertentu.

Sistem FiT ditadbir urus oleh SEDA yang ditubuhkan di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pembayaran pertama itu adalah kutipan bagi Disember, namun pihaknya menjangkakan ia bukanlah jumlah besar memandangkan FiT baru dikuatkuasakan.


“Berdasarkan peraturan ditetapkan SEDA, TNB perlu membuat pembayaran mengikut asas empat bulan. Contohnya, kutipan Disember perlu dibayar pada April dan kutipan Januari dibayar pada Mei. Begitulah seterusnya,” katanya.

Katanya, asas empat bulan itu juga berdasarkan kutipan bayaran bil pelanggan TNB yang diberikan tempoh sehingga 30 hari untuk menjelaskan bil semasa.

Sementara itu, beliau berkata, TNB berada pada landasan tepat untuk menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan pelbagai pihak berkaitan.


“Buat masa ini, TNB sudah memeterai REPPA dengan pengeluar solar photovoltaic (PV) berskala kecil, manakala pengeluar berskala besar akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Mengenai program RE, Abdul Rahim berkata, loji tenaga solar pertama TNB bernilai RM65 juta dengan kapasiti lima megawatt (MW) di Putrajaya akan beroperasi pada akhir tahun ini.

“Projek itu selaras dengan objektif menjana 5.5 peratus atau 985 MW bekalan elektrik menerusi RE menjelang 2015,” katanya.



Berita Harian
http://www.bharian.com.my/articles/TNBsasarkutipFiTRM300jsetahun/Article/

No comments:

Post a Comment